

POLIMAS RENTAS SEMPADAN, BAWA REKA BENTUK 3D KEPADA 38 MURID DI SATUN THALAND.
SATUN, THAILAND, 12 November 2026 – Seramai 38 murid Sekolah Ban Hadsaiyaow mempelajari asas reka bentuk tiga dimensi (3D) bersama pensyarah Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) menerusi Program CSR Antarabangsa JKA POLIMAS–Komuniti Melayu Satun 2026. Bagi sebahagian murid, bengkel itu merupakan pengalaman pertama menggunakan komputer riba dan aplikasi reka bentuk.
Program anjuran Jabatan Kejuruteraan Awam (JKA) POLIMAS itu berlangsung pada 11 dan 12 November 2026 di Ban Hat Sai Yao (Kampung Pasir Panjang), Tanyong Po, Satun. Bertemakan “Serumpun Tanpa Sempadan: Perkasa Ilmu, Maju Bangsaku”, program ini disertai 21 pensyarah dan staf POLIMAS.
Menerusi bengkel SketchUp for Young Designers – Mini Workshop yang turut disertai guru sekolah berkenaan, pensyarah JKA memperkenalkan asas reka bentuk berbantukan komputer dan pemodelan 3D menggunakan SketchUp. Murid turut mendapat pendedahan awal kepada teknologi kecerdasan buatan (AI).
Pengarah Program, Ts. Dr. Ahmad Sid Hijaz bin Md Saaid, berkata program itu memberi ruang kepada warga POLIMAS untuk mendekati masyarakat Melayu Satun melalui aktiviti pendidikan dan khidmat komuniti. Di Masjid Ban Hat Sai Yao, warga POLIMAS dan penduduk setempat bergotong-royong menceriakan persekitaran masjid. Pengisian lain termasuk demonstrasi seni khat dan lakaran seni bina serta tazkirah Subuh.
Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) POLIMAS, Ts. Mohd Khairolnizam bin Yunos, berkata perkongsian kepakaran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi program itu membuka ruang kepada kerjasama pendidikan di peringkat antarabangsa. Program ini turut mengeratkan hubungan masyarakat Melayu Satun dengan masyarakat di utara Semenanjung Malaysia yang berkongsi sejarah, bahasa dan budaya.
Program CSR Satun 1.0 diakhiri dengan penyampaian cenderahati dan sijil penghargaan kepada pasukan POLIMAS oleh Pengetua Sekolah Ban Hadsaiyaow, Tuan Hasem Ahama. Beliau menyambut baik peluang pembelajaran yang diberikan kepada murid dan berharap kerjasama itu diteruskan bagi menambah baik kemudahan pembelajaran, menyokong kebajikan murid serta memperluas penggunaan teknologi digital di sekolah.