KSU KPT Tinjau Reruai POLIMAS Sempena Festival Idea Putrajaya 2026
PUTRAJAYA, 18 November 2026 – Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin bin Hassim, meluangkan masa melawat reruai pameran Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) bersempena penganjuran Festival Idea Putrajaya (FOI) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Ketibaan beliau di reruai berkenaan disambut mesra oleh Pengarah POLIMAS, YBrs. Tuan Haji Wan Zulkifly bin Wan Zakaria, bersama barisan Ahli Mesyuarat Pengurusan institusi berkenaan yang turut hadir memeriahkan program berprestij tersebut.
Dalam lawatan singkat itu, Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin diberikan taklimat mengenai penglibatan serta inisiatif terkini POLIMAS dalam memperkasakan ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Beliau turut beramah mesra serta merakamkan gambar kenangan bersama delegasi pengurusan POLIMAS sebagai tanda sokongan terhadap komitmen institusi tersebut dalam menyemarakkan budaya inovasi.
Penyertaan aktif POLIMAS dalam FOI 2026 yang bertemakan “Malaysia Masa Hadapan: Menggagas Teknologi, Mengangkat Insani” ini mencerminkan kesungguhan institusi TVET premier tersebut untuk terus menyumbang idea bernas serta menyokong agenda transformasi pendidikan tinggi negara.
Festival anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti dan KPT yang berlangsung selama tiga hari bermula 17 hingga 19 November 2026 ini menghimpunkan pelbagai institusi pendidikan tinggi, penyelidik, pemain industri dan masyarakat bagi memacu inovasi serta percambahan idea baharu demi kemajuan negara.