E-INNOVEX RANGKUL PINGAT PERAK: INOVASI TVET DI IKTIRAF DI MoST SYMPOSIUM 2026

JITRA, 1 November – Projek E-INNOVEX berjaya mengharumkan nama institusi apabila merangkul pingat perak dalam Pertandingan Inovasi sempena MoST Symposium Event 2026 yang berlangsung baru-baru ini.

Kejayaan ini amat membanggakan memandangkan saingan sengit pada tahun ini yang menyaksikan penyertaan sebanyak 152 pasukan dari seluruh negara. Masing-masing tampil mengetengahkan pelbagai idea kreatif dan inovasi berimpak tinggi.

Projek bertajuk "E-INNOVEX: An Integrated Digital Evaluation and Management System for TVET Final Year Projects" merupakan sebuah sistem pengurusan dan penilaian digital bersepadu yang direka khas untuk Projek Tahun Akhir (PTA) pelajar TVET. Sistem ini dibangunkan bagi menyuntik elemen kecekapan, ketelusan, dan sistematik dalam pengurusan projek akademik selaras dengan arus pemodenan digital.

Kejayaan platform digital ini diterajui oleh komitmen tinggi dan gabungan kepakaran barisan ahli kumpulan yang terdiri daripada:

1. Viranee Intachat

2. Ts. Koo Kean Eng

3. Fariza Ishak

4. Dr. Nui A/P Din Keraf

5. Sofwan Ramli

Pengiktirafan pingat perak ini membuktikan bahawa hasil inovasi berteraskan TVET bukan sahaja mampu bersaing di peringkat tinggi, malah mempunyai potensi besar untuk diaplikasikan dalam memperkasakan ekosistem pendidikan teknikal negara.

Terdahulu, berita gembira mengenai kejayaan ini telah dikongsikan oleh ahli kumpulan, Viranee kepada Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik (KJ JKE), Sofwan Ramli, sekali gus mencetuskan inspirasi kepada warga pendidik dan pelajar lain untuk terus membudayakan inovasi.