

POLIMAS Subur Semangat Perpaduan Melalui Program CSR Bersama Komuniti Orang Asli Ulu Legong
BALING, 31 Oktober 2026 – Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) melalui Jabatan Pengajian Am melakar sejarah murni apabila berjaya menganjurkan Program Corporate Social Responsibility (CSR) Bersama Komuniti Orang Asli di Kampung Siong, Ulu Legong, hari ini. Program berimpak tinggi ini dijayakan dengan kerjasama erat kariah Masjid Ibadurrahman, bertujuan menyemai semangat kesukarelawanan di samping merapatkan jurang antara institusi pendidikan dan masyarakat luar bandar.
Ketua Jabatan Pengajian Am POLIMAS, Ustaz Nik Mohd Sofri Nik Abdul Hamid berkata, program ini bukan sekadar aktiviti bermusim, sebaliknya merupakan satu manifestasi tanggungjawab sosial dan bukti keprihatinan yang mendalam terhadap kebajikan masyarakat madani tanpa mengira latar belakang.
“Kehadiran kami membawa mesej jelas bahawa masyarakat Orang Asli adalah sebahagian daripada keluarga besar Malaysia yang sentiasa dekat di hati kami. Melalui interaksi di lapangan ini, para pelajar bukan sahaja dapat menabur bakti tetapi juga mengutip nilai-nilai murni seperti toleransi, kerjasama, dan menghargai kepelbagaian budaya,” ujar beliau ketika menyampaikan ucapan penutupan majlis.
Program ini turut dibantu oleh Burhannudin Ya selaku Pengarah Program serta Noradila Iskandar bersama barisan pensyarah dan pelajar POLIMAS.Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti interaktif dan santai telah disusun bagi merangkumkan penglibatan semua lapisan umur. Antara pengisian utama termasuklah Kuliah Dhuha khusus untuk golongan muslimat, gotong-royong memasak hidangan beramai-ramai, aktiviti English Game untuk anak-anak, serta Klinik Solat. Kemuncak kemesraan dua hala terpancar apabila para peserta berpeluang mempelajari seni warisan tempatan menerusi aktiviti anyaman dan teknik menyumpit tradisional.
Selain pengisian rohani dan sukaneka, POLIMAS turut menyalurkan bantuan kebajikan berbentuk sumbangan bakul makanan serta pakaian terpakai bagi meringankan beban 55 keluarga Orang Asli di perkampungan tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) Kampung Orang Asli, Ubai Kulim, menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas kesudian warga POLIMAS memilih perkampungan mereka. Nada yang sama turut dikongsi oleh Imam Masjid Ibadurrahman, Zainol Romli, yang menyifatkan kolaborasi ini sebagai satu titik permulaan terbaik dalam menjadikan institusi masjid sebagai pusat penyatuan ummah dan pembangunan komuniti setempat.
Majlis penutupan diakhiri dengan penuh harmoni, diiringi harapan agar hubungan silaturahim yang telah terbina ini akan terus mekar dan berkesinambungan melalui program-program susulan pada masa hadapan.

































