POLIMAS Perkukuh Hala Tuju Melalui Majlis Aspirasi POLIMAS Premier
JITRA, 15 November 2026 – Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) telah menganjurkan Majlis Aspirasi POLIMAS Premier bertemakan "One POLIMAS – Creating Impact, Shaping the Future" bertempat di Dewan Sri Mas, hari ini.
Majlis anjuran Bahagian Khidmat Pengurusan POLIMAS ini menghimpunkan warga kerja institusi berkenaan bagi menyelaraskan hala tuju serta memperkukuh komitmen terhadap kecemerlangan pendidikan dan tadbir urus.
Pengarah POLIMAS, YBrs. Tuan Haji Wan Zulkifly bin Wan Zakaria, dalam slot Refleksi dan Aspirasi menekankan kepentingan kesepaduan warga institusi dalam mencipta impak berterusan serta membentuk masa depan politeknik yang lebih dinamik dan berdaya saing. Sesi tersebut turut membuka ruang interaksi secara langsung menerusi sesi soal jawab bersama warga POLIMAS.
Terdahulu, majlis dimulakan seawal jam 8.00 pagi dengan pendaftaran kehadiran, disusuli nyanyian lagu Negaraku, lagu Negeri Kedah, serta lafaz Ikrar Rukun Negara, Ikrar Perkhidmatan Awam dan Ikrar Integriti sebagai manifestasi komitmen penjawat awam terhadap nilai profesionalisme dan integriti. Pengisian rohani turut diserikan menerusi segmen Tazkirah D’Pagi Ahad bertajuk Tadabbur Surah al-Asr.
Kemuncak majlis menyaksikan Upacara Pelancaran MayaHEP sebagai langkah memperkasa penyampaian perkhidmatan digital hal ehwal pelajar.
Selain itu, majlis turut diisi dengan perkongsian info pertukaran staf serta upacara penyampaian Sijil Penghargaan, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Berterusan (APCB) dan cenderahati kepada warga kerja yang cemerlang sebelum diakhiri dengan nyanyian lagu Politeknik Malaysia dan sesi bergambar.